ORANG ramai mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite di Tapak Ekspo Seberang Jaya. FOTO DANIAL SAAD
ORANG ramai mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite di Tapak Ekspo Seberang Jaya. FOTO DANIAL SAAD
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kemungkinan varian Omicron yang sudah bertapak dalam komuniti menjadi penyebab kepada peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 apabila kembali melepasi 5,000 kes, semalam.

Untuk rekod, selepas kali terakhir kes Covid-19 melebihi 5,000 kes pada 10 Disember tahun lalu, sebanyak 5,439 kes baharu dilaporkan semalam dan hari ini, 5,522 kes dilaporkan.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, selain orang ramai semakin alpa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penyebab peningkatan kes berkemungkinan kerana Omicron sudah bertapak di dalam komuniti.

"Masing-masing perlu beringat bahawa wabak Covid-19 masih menular. Justeru, pematuhan SOP perlu diikuti dan dipatuhi dengan sebaik-baiknya oleh semua lapisan masyarakat.

"Ini terutama golongan 'kayangan' serta terkini dengan keghairahan pihak tertentu berpolitik di Johor," katanya.

Rabu lalu, dalam ciapan di Twitter, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, gelombang penularan varian Omicron sudah bermula di negara ini dan dijangka menyebabkan jumlah kes Covid-19 semakin meningkat.

Katanya, ketika ini gelombang jangkitan virus itu terkawal kerana kadar vaksinasi di negara ini adalah tinggi.

Pada masa sama, beliau meminta kerjasama masyarakat untuk bersama-sama menyertai usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatasi gelombang penularan terbabit dengan mematuhi SOP pencegahannya seperti memakai pelitup muka dan menjalani ujian saringan.

"Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini. Pakai mask (pelitup muka).

"#TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan cari). Booster (penggalak). #PICKids (vaksinasi kanak-kanak)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 4:46 PM