Muhammad Syahadad Harry dikesan. FOTO ihsan pusat jagaan Nur Ehsan
Muhammad Syahadad Harry dikesan. FOTO ihsan pusat jagaan Nur Ehsan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pengurusan Pusat Jagaan Nur Ehsan di Kempas dekat sini, meminta bantuan orang ramai mengesan waris seorang penghuni dikenali sebagai Muhammad Syahadad Harry.

Pengurus pusat jagaan itu, Norijah Bidin berkata, Muhammad Syahadad yang berusia 17 tahun menghuni di pusat jagaan itu hampir dua tahun.

Beliau berkata, Muhammad Syahadad ditemuk dalam keadaan tidak terurus dan hidup gelandangan di sebuah masjid di Kempas ketika awal pandemik Covid-19.

Menurutnya, jemaah masjid berusaha mengesan waris remaja berkenaan termasuk melaporkan kepada polis, namun berikutan tiada sebarang dokumen, remaja berkenaan gagal mendapatkan perlindungan daripada pihak berkaitan sebelum dihantar ke pusat jagaan itu.

"Mengikut maklumat diberikan remaja itu, dia dilahirkan pada 25 Mei 2005 di Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Kami berusaha menghubungi pengurusan hospital bagi mengesan rekod kelahiran namun ia gagal ditemukan, begitu juga dengan rekod kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tiada maklumat diperoleh," katanya ketika ditemui, hari ini.

Norijah berkata, Muhammad Syahadad Harry memberitahu pernah tinggal bersama keluarga angkat di Kluang dan Mersing hingga berusia 12 tahun.

Menurutnya, remaja itu hilang tempat bergantung apabila ibu angkat meninggal dunia hingga terpaksa tinggal bersama rakan di Kota Tinggi pada usia 13 tahun hingga 15 tahun serta bekerja di sebuah kedai makan di situ.

Katanya, hampir dua tahun lalu, dia ke Kempas untuk mencari pekerjaan sebelum mendapatkan perlindungan di sini.

"Muhammad Syahadad Harry tidak pernah bersekolah kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.

"Kami bersimpati dengan nasibnya dan berusaha mengesan waris remaja itu bagi membincangkan masa depannya.

"Diharap orang ramai yang mengenali waris Muhammad Syahadad Harry menghubungi talian 07-2326415 atau 016-7351910," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 2:31 PM