ZAIDI (dua kanan) dan Hameed (kanan) berbincang dengan pembeli rumah. FOTO Hassan Omar
ZAIDI (dua kanan) dan Hameed (kanan) berbincang dengan pembeli rumah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Pemaju Taman Seri Aman Lagenda, di sini diberikan tempoh enam bulan untuk menyiapkan keseluruhan 54 unit rumah yang terbengkalai sejak 2017.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan menegaskan, kerajaan negeri tidak akan melanjutkan lagi tempoh berkenaan kerana projek itu sepatutnya disiapkan sepenuhnya pada 2019.

"Kerajaan negeri mahu pemaju menyiapkan projek ini dan menyerahkannya kepada pembeli yang sudah menunggu lama untuk menghuni rumah masing-masing.

"Pemaju diwajibkan membina tangki air utama untuk kegunaan penghuni, selain membina semula tembok penahan tebing yang sudah runtuh kerana ia membahayakan penghuni," katanya ketika ditemui melawat tapak projek berkenaan hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat dengan pemaju, wakil Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan pembeli di Dewan Tan Sri Abu Seman Yusof, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Zaidi berkata, pemaju tidak mempunyai sebab untuk tidak membina tangki air utama kerana ia adalah berdasarkan syarat ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Hasil tinjauan, saya mendapati kebanyakan kerja pembinaan sudah selesai, termasuk pendawaian elektrik dan pemasangan paip air ke rumah.

"Ada satu blok yang berhampiran dengan tebing runtuh itu mungkin lewat untuk disiapkan kerana pemaju harus membina semula tembok yang sudah runtuh," katanya.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan kembali meninjau kerja menyiapkan projek berkenaan pada 30 April depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memahami masalah dihadapi pemaju tetapi kepentingan pembeli harus diutamakan kerana mereka sudah membayar pinjaman perumahan sedangkan rumah yang dijanjikan gagal disiapkan mengikut jadual.

Sementara itu, wakil pembeli Intan Nurfarhana Kamarolzaman, 32, berkata pembeli bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana campur tangan bagi menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan sejak 2017 itu.

"Kami berharap pemaju mampu memenuhi ketetapan diberikan kerajaan negeri demi kami sebagai pembeli yang terpaksa membayar balik pinjaman perumahan tetapi tidak mampu tinggal di rumah idaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 1:19 PM