ROSMAH Mansor
ROSMAH Mansor
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, bertindak melangkaui bidang kuasanya apabila melantik bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya kanan untuk menerajui siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan melakukan pendakwaan ke atas mereka yang terbabit.

Isteri bekas perdana menteri itu berkata demikian melalui afidavit sokongan dalam permohonannya untuk menggugurkan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya kanan yang mengetuai pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.

Permohonan itu difailkan semalam, dan media memperoleh afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul daripada peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah hari ini.

Dalam afidavitnya, Rosmah berkata, selepas meneliti surat pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya kanan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah bertarikh 21 Mei 2021, didapati pelantikan itu tidak merujuk kepada kes pengubahan wang haram dan berkaitan LHDN yang dihadapinya.

Beliau berkata, jika pun mahkamah berpendapat Idrus bertindak secara teratur selaras dengan kuasa statutorinya, Sri Ram masih bukan individu yang sesuai dan wajar untuk menjalankan pendakwaan kes itu kerana berdasarkan surat pelantikan, adalah jelas beliau terbabit dalam proses siasatan.

"Saya menegaskan bahawa peguamcara saya akan berhujah lanjut berkenaan dengan perkara ini secara terperinci ketika pendengaran permohonan ini kelak.

"Saya sesungguhnya percaya bahawa lanjutan daripada semua yang dinyatakan diatas, maka ia adalah jelas bahawa Sri Ram harus disingkirkan sebagai Timbalan Pendakwa Raya kanan dalam kes ini," katanya.

Rosmah berkata, pelantikan Sri Ram adalah tidak sah disisi undang-undang dan terbatal.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Rosmah didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, daripada 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 12:17 PM