BEKAS tentera maut apabila kepalanya digilis lori, malam tadi.
BEKAS tentera maut apabila kepalanya digilis lori, malam tadi.
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Bukit Selambau-Jeniang, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada 8.50 malam itu, lelaki warga emas berusia 62 tahun yang juga pesara tentera meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala selepas digilis lori.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan mendapati mangsa ketika itu dalam perjalanan ke arah Jeniang.

"Mangsa datang dari Teloi dan dia yang tidak berhenti terus keluar simpang kanan jalan sebelum merempuh sebuah motosikal lain yang datang dari Jeniang.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan ketika itu lori dipandu seorang lelaki yang datang dari arah Bukit Selambau tidak sempat mengelak dan menggilis kepalanya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian cuaca hujan dan kawasan terbabit yang juga simpang tiga berselekoh agak gelap kerana tiada lampu jalan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 11:22 AM