Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Amin Jalil

Seremban: Sebanyak 11 kluster pendidikan aktif dengan 743 pelajar dikesan positif Covid-19 di Negeri Sembilan setakat ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanayak lapan kluster daripada jumlah berkenaan membabitkan sekolah kerajaan, manakala tiga lagi membabitkan institusi pendidikan swasta dengan majoriti pelajar yang dikesan positif Covid-19 membabitkan sekolah berasrama.

"Secara keseluruhan setakat ini, terdapat 16 kluster Covid-19 yang aktif di Negeri Sembilan membabitkan 11 daripadanya adalah kluster pendidikan, manakala lima lagi adalah kluster tempat kerja dan kontak rapat.

"Sehingga kini terdapat peningkatan kes baharu Covid-19 apabila semalam merekodkan 311 kes dan graf peningkatan ini mula dilihat berlaku sejak awal tahun ini.

"Meskipun begitu, keadaan adalah terkawal kerana kes baharu Covid-19 yang direkodkan itu kebanyakannya membabitkan kategori satu dan dua, manakala kategori tiga bilangannya hanya sedikit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Covid-19 Majlis Keselamatan Negeri di Bilik Gerakan Wisma Negeri, petang hari ini.

Aminuddin berkata, pelajar yang dikesan positif Covid-19 sedang dikuarantin di sebuah pusat kuarantin di Enstek, Nilai.

Beliau berkata, pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berada di asrama dan tidak digalak balik ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina ini.

"Kita berharap ibu bapa dapat memberikan kerjasama dan dokongan dalam hal ini bagi memastikan anak-anak kita sihat menjelang peperiksaan SPM tidak lama lagi.

"Bagi pelajar yang dikategorikan kontak rapat dan diarahkan kuarantin di sekolah, juga tidak digalakkan pulang sehingga tamat tempoh kuarantin walaupun ketika cuti Tahun Baru Cina," katanya.

Menurut Aminuddin, walaupun dalam keadaan terkawal, kerajaan negeri tetap melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes wabak itu kerana kita akan memasuki musim perayaan Tahun Baru Cina, Ramadan dan seterusnya Aidilfitri.

Sehubungan itu kata beliau, rakyat Negeri Sembilan perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan kerajaan negeri sudah mengambil beberapa usaha termasuk persediaan mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Port Dickson.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:15 PM