ANUAR (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menyeleweng dana milik PPK Kota Tinggi, hari ini. FOTO MARY VICTORIA DASS
ANUAR (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menyeleweng dana milik PPK Kota Tinggi, hari ini. FOTO MARY VICTORIA DASS
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang penolong akauntan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap tiga pertuduhan pecah amanah dengan menyeleweng dana PPK itu berjumlah RM95,205.

Tertuduh, Anuar Saat, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, Anuar didakwa mulai Mei 2016 hingga Disember 2016 di CIMB Bank Berhad di Kota Tinggi melakukan pecah amanah membabitkan dana RM21,294.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mulai Februari 2017 hingga Disember 2017 di CIMB Bank Berhad di Kota Tinggi melakukan pecah amanah membabitkan dana RM46,404.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mulai Januari 2018 hingga Julai 2018 di CIMB Bank di Kota Tinggi melakukan pecah amanah membabitkan dana RM27,507.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Anuar didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, sebatan dan boleh didenda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Anuar tidak diwakili peguam.

Ahmad Kamal Arifin mencadangkan untuk tidak menjatuhkan hukuman pada hari ini, sebaliknya mencadangkan Anuar melantik peguam.

Ahmad Kamal Arifin mencadangkan Anuar memohon peguam Yayasan Bantuan Guaman sekiranya tidak mampu melantik peguam.

Terdahulu, Suhaili mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dan menyerahkan pasport antarabangsa tertuduh kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Anuar memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan dia digantung kerja dan hanya bergantung kepada pendapatan isteri yang bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM50 sehari.

Anuar mendakwa mengalami masalah jantung bengkak dan menanggung empat cahaya mata termasuk bayi berusia tujuh bulan hingga anak sulung berusia 19 tahun.

Anuar menyatakan hanya mampu membayar jaminan RM3,000 dan tidak mampu melantik peguam.

Ahmad Kamal Arifin menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan 27 Februari depan sebagai tarikh sebutan kes bagi membolehkan Anuar melantik peguam bela.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 11:59 AM