LORI tangki yang disita. FOTO ihsan KPDNHEP
LORI tangki yang disita. FOTO ihsan KPDNHEP
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeleweng 2,800 liter minyak diesel bersubsidi bernilai lebih RM6,500 di stesen minyak di Jalan Bukit Tengah, di sini, semalam.

Serbuan 6.30 pagi itu hasil risikan selama sebulan dan aduan orang awam berhubung kegiatan berkenaan.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, lima penguatkuasa menjalankan serbuan berkenaan.

Katanya, ketika serbuan, minyak diesel bersubsidi sedang diisi ke dalam lori tangki di stesen minyak itu.

"Hasil pemeriksaan melalui resit belian mendapati lori berkenaan telah membuat pengisian minyak diesel bersubsidi sebanyak RM6,582.85.

"Seterusnya, pegawai penguatkuasa menahan dua warga tempatan, menyita 2,800 liter minyak diesel, sebuah lori serta dua telefon bimbit bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 10:35 AM