Bumbung yang menghempap kenderaan di PPR Raya Sungai Besi. FOTO APM
Bumbung yang menghempap kenderaan di PPR Raya Sungai Besi. FOTO APM
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 52 kenderaan mengalami kerosakan apabila dihempap bumbung yang berterbangan dalam kejadian di beberapa unit flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Sungai Besi akibat angin kencang, petang tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, dalam kejadian 5.30 petang itu enam rumah Blok A turut mengalami kerosakan manakala bancian masih dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengenalpasti jumlah unit rumah Blok C yang rosak.

Beliau berkata, pihaknya yang bergegas ke lokasi selepas menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.21 petang menerusi media sosial mendapati tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.

"Tiada pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) dilakukan kerana hanya sebahagian daripada unit kediaman mengalami kerosakan dan penduduk juga tidak mahu berpindah," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja membersihkan kawasan kejadian dilakukan pihak APM dan kakitangan DBKL membabitkan Bahagian Kejuruteraan dan Skuad Penyelamat DBKL.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 10:35 PM