Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO BERNAMA
Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Penilaian pasukan doktor pakar Institut Jantung Negara (IJN) yang merawat Tun Dr Mahathir mendapati kesihatan bekas Perdana Menteri semakin pulih.

Anak perempuan beliau, Datin Paduka Marina Mahathir berkata, bapanya sudah dipindah keluar dari Unit Rawatan Koronari ke bilik wad biasa, IJN, hari ini.

"Tun Dr Mahathir ceria dan bersemangat untuk kembali pulih sepenuhnya.

"Bagi mengelak jangkitan, kedua-dua Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak dibenarkan menerima pelawat di IJN ketika ini.

"Sekali lagi Tun Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan supaya beliau sembuh sepenuhnya," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ini kali kedua Dr Mahathir dimasukkan ke IJN dalam bulan ini selepas 7 Januari lalu apabila beliau menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar enam hari kemudian.

Pada 16 Disember 2021, Ahli Parlimen Langkawi itu dimasukkan ke pusat sama untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

Puluhan petugas media berada di IJN untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung keadaan Dr Mahathir yang prosedur rawatannya sudah memasuki hari kelima hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 7:13 PM