GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Lebih banyak kluster Covid-19 yang membabitkan jangkitan dalam institusi pendidikan, khususnya sekolah dijangka bertambah di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jangkaan itu berdasarkan laporan awal Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang sedang melakukan saringan kontak rapat di enam sekolah atau institusi pendidikan.

Beliau berkata, saringan itu dilaksanakan dalam kalangan penghuni asrama sekolah terbabit dan didapati ada kemungkinan beberapa lagi kluster baharu bakal muncul.

"Keputusan dan kesimpulan muktamad akan diketahui dalam satu atau dua hari akan datang," katanya dalam kenyataan petang ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, hari ini satu lagi kluster baharu institusi pendidikan dilaporkan iaitu Kluster Jalan Teritipan, Kota Marudu yang mencatat 44 kes.

Katanya, kluster itu juga menjadi antara penyumbang utama kes di Sabah hari ini dengan sebanyak 38 kes baharu sekali gus meletakkan Kota Marudu sebagai daerah tertinggi kes hari ini dengan 64 kes daripada 335 kes keseluruhan di Sabah.

"Kluster tercetus selepas kes indeks iaitu pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2, disahkan positif melalui saringan PCR pada 23 Januari lalu.

"Saringan dalam kalangan kontak rapat kemudian mendapati 37 orang lagi dijangkiti. Semua mereka bagaimanapun hanya bergejala ringan iaitu berada dalam Kategori 1 dan 2," katanya.

Semalam, satu kluster baharu berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Tawau, manakala lima kluster dalam kategori yang sama dilaporkan di seluruh Sabah sepanjang minggu lalu.

Selain Kluster Jalan Teritipan, Masidi berkata dua lagi kluster baharu berkaitan tempat kerja turut dilaporkan di Sabah hari ini dengan satu daripadanya iaitu Kluster Montenior, Beaufort dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

Masidi berkata, kluster berkenaan membabitkan kes indeks seorang petugas kesihatan wanita berumur 37 tahun, sudah merebak kepada tiga generasi di dua daerah iaitu Beaufort dan Kuala Penyu.

"Kes indeks itu disahkan positif pada 12 Januari dan saringan yang dibuat seterusnya dalam kalangan kontak rapat mendapati 24 orang daripada kontak generasi pertama, 17 orang daripada kontak generasi kedua dan dua orang kontak generasi ketiga juga dijangkiti.

"Mereka terdiri daripada rakan sekerja kes indeks dan ahli keluarga kakitangan kesihatan. Semua yang terbabit sudah dikuarantin untuk menjalani rawatan," katanya.

Beliau berkata, satu lagi kluster berkaitan tempat kerja hari ini ialah Kluster Jalan Binunuk, Beaufort yang membabitkan kes indeks seorang wanita berumur 34 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 22 Januari lalu.

Masidi berkata, saringan ke atas kontak rapat dalam kalangan rakan sekerja dan ahli keluarga kes indeks mendapati 13 orang lagi dijangkiti virus Covid-19.

"Jangkitan dipercayai berpunca daripada mesyuarat yang membabitkan jumlah yang ramai dalam satu fasiliti yang sama," katanya.

Secara keseluruhan, kes harian Covid-19 di Sabah meningkat 21 kes kepada 335 kes hari ini berbanding 314 kes semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 6:16 PM