Dr Aruan Efendy.
Dr Aruan Efendy.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Aktiviti pembalakan mengikut kaedah betul tidak akan mengakibatkan kemusnahan alam sekitar yang teruk seperti digambarkan sekarang.

Sebaliknya pematuhan kepada cara penebangan, pengurusan balak yang betul sehingga ia dikeluarkan daripada hutan menjadi penentu kepada kesan langsung kepada alam sekitar.

Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Aruan Efendy Mohd Ghazali berkata, langkah itu dipraktikkan di beberapa negara Asia seperti Thailand dan Indonesia yang terbukti tidak meninggalkan impak negatif kepada alam sekitar seperti di negara kita.

Katanya, pengetahuan mengenai kelestarian alam sekitar perlu meliputi kaedah penebangan sehinggalah kepada proses penanaman semula seperti diperuntukkan di dalam undang-undang negara dan bukannya dilakukan secara semberono.

"Kita lihat isu pembalakan semakin mendapat perhatian di negara kita kebelakangan ini. Saya suka melihatnya daripada aspek pengurusan di mana sebenarnya jika penebangan balak ini dilakukan dengan cara betul, ia tidak meninggalkan kesan yang teruk kepada alam sekitar.

"Cuma jika dilakukan tanpa pemantauan pihak berwajib, maka risiko untuk kawasan balak diteroka dengan cara yang tidak betul dan kemusnahan yang teruk boleh berlaku. Di sini sebenarnya masalah kita," katanya.

Beliau berkata, sama juga aktiviti pertanian kelapa sawit, getah dan sayur-sayuran yang memerlukan teres, ia juga sebenarnya mempunyai risiko kepada kemusnahan alam sekitar secara tidak langsung malah lebih lagi jika dibandingkan dengan aktiviti pembalakan.

Namun katanya, ia seolah-olah dipandang sepi kerana tidak begitu menimbulkan kontroversi seperti balak yang dijadikan modal pihak tertentu untuk menyalahkan pihak berkuasa.

"Kalau diikutkan, yang paling memberi impak nyata adalah penanaman sayur. Ini kerana jika kita perhatikan, kerja-kerja pembersihan di kawasan penanaman sayur membabitkan semua tumbuhan kecil dan besar.

"Ini tidak berlaku kepada penebangan balak yang mengikut spesifikasi sebenar. Hanya balak yang matang dan cukup saiznya sahaja boleh ditebang yang selepas digred oleh renjer bertauliah.

"Kaedah penebangan juga sepatutnya tidak akan membabitkan kemusnahan kepada pokok lain atau tumbuhan kecil di sekelilingnya dan tidak mengganggu ekosistem sekitar semasa dikeluarkan," katanya.

Dr Aruan Efendy berkata, pemahaman mengenai perkara itu perlu dalam kalangan masyarakat bagi mengelakkan salah tanggapan kepada industri pembalakan secara total.

"Cuma, ada juga isu pembalakan haram yang perlu dikawal oleh pihak berkuasa. Bagi kes seperti ini, biasanya aspek penjagaan alam sekitar langsung tidak diambil kira semasa dalam proses penebangan dan pengeluaran dan ini menimbulkan masalah untuk jangka masa panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 11:50 PM