AFANDI (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Ahmad Shafir Fathurrahman di rumahnya di Kampung Banggol, Setiu. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
AFANDI (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Ahmad Shafir Fathurrahman di rumahnya di Kampung Banggol, Setiu. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Nurul Fatihah Sulaini


Permaisuri: Ahmad Shafir Fathurrahman Mohd Sobri baru berusia empat tahun namun dia sudah diuji apabila disahkan mengidap kanser saraf tahap empat.

Namun ia tidak menjadi halangan buatnya untuk terus kuat melawan penyakit.

Dari segi luaran, Fathurrahman sama seperti kanak-kanak normal yang lain sentiasa aktif bermain.

Penjaganya yang juga nenek saudara, Rozila Aswani Ismail, 39, berkata sepanjang tempoh enam kali sesi kemoterapi dilakukan Fathurrahman sentiasa berusaha bersedia dari segi mental serta fizikal untuk menerima kesan sampingan daripada rawatan.

"Fathurrahman tahu selepas kimoterapi selalunya dia akan muntah dan disebabkan itu dia akan makan banyak sebelum sesi rawatan serta lebih kerap tidur untuk mengelakkan daripada muntah.

"Jika diikutkan dia juga akan menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) minggu ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol, di sini, baru-baru ini.

Rozila berkata, Fathurrahman disahkan mengidap kanser saraf pada Ogos tahun lalu setelah kesihatannya mula merosot sejak berusia dua tahun.

"Pada peringkat awal dia hanya mengadu kerap lenguh badan, kerap terjatuh ketika berjalan serta perut sering kembung sebelum dirujuk ke hospital oleh ayahnya," katanya.

Katanya, dia dan suami, Iskandar Ismail, 49, sudah menjaga Fathurrahman sejak dari kecil dan menganggap seperti anak sendiri selepas kedua ibu bapanya berpisah.

"Walaupun sedar peluang untuk dia sembuh sepenuhnya tipis namun kami tetap berharap ada keajaiban dia akan pulih," katanya.

Rozila berkata, Fathurrahman yang juga anak kedua turut bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis kerana terlalu meminati kerjaya pasukan beruniform.

"Dia sangat gembira apabila dihadiahkan sepasang pakaian beruniform polis oleh seorang kenalan akhir tahun lalu dan sering memakai pakaian itu ketika menerima rawatan di hospital sebagai penguat semangat melawan sakit kanser," katanya.

Katanya, lebih istimewa Fathurrahman turut menerima jemputan daripada Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin serta Kebajikan dan Amanita Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu melakukan lawatan sehari di IPD Setiu serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Air Sejuk, Setiu, baru-baru ini sempena hari lahirnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 1:34 PM