Antara barangan yang disita. FOTO ihsan KPDNHEP
Antara barangan yang disita. FOTO ihsan KPDNHEP
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menyita pelbagai barangan bernilai lebih RM54,000 yang didapati menyalahgunakan logo halal dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Tengah, di sini, pagi tadi.

Antara barangan didapati menggunakan logo halal tanpa kebenaran itu terdiri daripada minyak bijan, minyak biji sawi, air ros, air lemuju dan kapur.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemeriksaan ke atas premis itu dijalankan tiga pegawai penguatkuasa kira-kira jam 11 pagi tadi selepas mendapat aduan daripada orang awam berhubung barangan yang menggunakan logo halal tanpa kebenaran.

"Ketika pemeriksaan didapati premis itu mengeluarkan barangan seperti minyak bijan, minyak biji sawi, air ros, air lemuju dan kapur yang menggunakan penandaan logo halal tanpa diperakukan pihak berkuasa.

"Oleh itu, kita sita 4,392 unit minyak bijan, 3,192 unit minyak biji sawi, 7,968 unit air ros, 2,580 unit air lemuju dan 5,916 unit kapur yang disyaki menggunakan penandaan logo halal tanpa kebenaran yang dianggarkan bernilai RM54,402.90," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 10:04 PM