Anggota FRU bersiap sedia menjaga jalan menunju ke Dataran berikutan demonstrasi mendesak Ketua Pengarah SPRM letak Jawatan, kelmarin. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Anggota FRU bersiap sedia menjaga jalan menunju ke Dataran berikutan demonstrasi mendesak Ketua Pengarah SPRM letak Jawatan, kelmarin. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Polis membuka dua kertas siasatan susulan perhimpunan yang berlangsung di dua lokasi berasingan di ibu negara kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, Kanun Keseksaan dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Katanya, ia dibuat berdasarkan pemantauan di lokasi perhimpunan yang mendapati sekumpulan orang berkumpul dan berarak dengan kapasiti berlebihan dan bertentangan dengan penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

"Berdasarkan tapisan senarai nama yang dibuat polis, jumlah butiran diri aktivis dan peserta yang dikenal pasti menyertai perhimpunan di LRT Bangsar adalah seramai 78 orang terdiri daripada 26 aktivis di mana tiga daripadanya diperiksa butiran diri bersama 52 peserta perhimpunan lain.

"Manakala seramai 16 orang aktivis dan 12 pengunjung awam dikenal pasti hadir perhimpunan di Restoran Amjal. Walau bagaimanapun, tiada tangkapan dan rampasan dijalankan di kedua-dua perhimpunan itu," katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, sehingga jam 8 malam hari ini, pihaknya sudah merakamkan sembilan keterangan daripada aktivis yang hadir ketika perhimpunan di LRT Bangsar dan 10 keterangan aktivis yang hadir semasa perhimpunan di Restoran Amjal.

Menurutnya, polis juga turut merakam keterangan saksi-saksi mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, gambar tempat kejadian, gambar aktivis yang memberikan ucapan dan video semasa perhimpunan juga dirakam.

"Arahan penyiasatan di bawah Kanun Prosedur Jenayah diperolehi daripada Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur. Polis ingin memaklumkan bahawa perhimpunan ini tidak mendapat permit dan kebenaran daripada pihak berkuasa dan pihak penganjur gagal menghantar notis pemberitahuan untuk mengadakan perhimpunan," katanya.

Katanya, orang awam dilarang menyertai mana-mana perhimpunan tanpa permit yang sah daripada manakala berhimpun secara haram boleh menimbulkan kacau ganggu awam.

"Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 9:42 PM