GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Suami isteri maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Inderasabah, dekat sini, tengah hari tadi.

Kejadian dipercayai berlaku ketika pasangan terbabit Al Sebal Warid, 29, dan isterinya Nurul Aidil Fitri Nordin, 29, dalam perjalanan dari Kampung Inderasabah menuju ke Taman Sawit, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, nahas berlaku apabila pikap jenis Isuzu D-Max dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

Menurutnya, pemandu pikap terbabit dikatakan cuba memotong dua kenderaan di hadapannya sebelum cuba mengelak motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.

"Pemandu pikap cuba mengelak ke bahu jalan sebelah kanan tetapi akibat jarak yang terlalu dekat, motosikal mangsa melanggar bahagian kiri hadapan kenderaan pacuan empat roda itu.

"Akibat kemalangan itu, si isteri (pembonceng) tercampak sejauh lebih kurang 14 meter dari bahu jalan dan maut di tempat kejadian manakala suaminya (penunggang) meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tawau," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Peter berkata, siasatan awal mendapati nahas berpunca daripada kecuaian pemandu pikap yang memotong secara melulu sehingga berlakunya kemalangan itu.

"Bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian manakala pemandu kita tahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 9:36 PM