Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Polis Kelantan menjangkakan hampir 800,000 kenderaan masuk ke negeri itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, peningkatan kemasukan kenderaan berlaku berikutan kerajaan membenarkan rakyat bergerak dalam tempoh perayaan itu

Katanya, pihaknya akan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) Ops Selamat Tahun Baharu Cina di beberapa daerah sempadan negeri seperti Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang.

"Walaupun kerajaan memberikan kelonggaran untuk merentas negeri, orang ramai diharap menggunakan peluang ini sebaik mungkin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana kita masih belum 'menang' sepenuhnya dalam menangani Covid-19.

"Setakat ini, kita jangka kawasan tumpuan kemasukan kenderaan adalah di Gua Musang dan Jeli yang akan menerima kemasukan dari utara serta Selangor dan Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelantikan Watikah Ketua Amanita Jabatan dan Ketua Amanita Daerah serta Penyerahan Baju Korporat Amanita Tahun 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Shafien turut berkongsi kaedah baharu polis Kelantan yang menggabungkan Skuad Aman Wanita (Amanita), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam menangani jenayah di negeri itu.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Gabungan tiga unit berkenaan bukan sahaja dapat memperkemaskan lagi imej polis di mata masyarakat, malah dijangka dapat menyumbang kepada lebih banyak kejayaan dalam menangani pelbagai kes jenayah.

"Umum mengetahui Amanita terdiri daripada pegawai dan anggota wanita, justeru gabungan berkenaan boleh menjamin keselamatan selain memberi lebih keyakinan kepada anggota untuk menjalankan tugas.

"Amanita, URB, dan MPV adalah unit di bawah satu bumbung yang sama, namun sebelum ini setiap daripada unit berkenaan menjalankan tugas berasingan," katanya.

Katanya, sebanyak 14 skuter diserahkan kepada Amanita di Kelantan bagi memudahkan mereka untuk menjalankan rondaan serta mendekati masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 1:57 PM