LELAKI warga asing yang ditahan bersama rokok seludup dalam serbuan di sebuah kediaman di Jalan Damai Perdana, Bandar Damai Perdana, Kuala Lumpur, semalam.
LELAKI warga asing yang ditahan bersama rokok seludup dalam serbuan di sebuah kediaman di Jalan Damai Perdana, Bandar Damai Perdana, Kuala Lumpur, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan penyeludupan rokok dalam serbuan di sebuah kediaman di Jalan Damai Perdana, Bandar Damai Perdana, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Selangor Superintendan Rizal Mohamed berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada 3.30 petang.

"Pemeriksaan di dalam sebuah kenderaan dan kediaman terbabit menemui rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup serta tidak bercukai yang disembunyikan.

"Jumlah keseluruhan rokok yang dirampas adalah sebanyak 2,105 karton dianggarkan berjumlah RM100,890 dengan nilai cukai RM261,433," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rizal berkata, turut dirampas sebuah kenderaan serta telefon bimbit sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM409,773.

"Semakan dilakukan terhadap lelaki warga asing berkenaan mendapati dia tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Beliau berkata, tangkapan serta rampasan itu berjaya memutuskan satu rangkaian pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar ibu kota ini.

"Saya menyeru supaya masyarakat memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 1:04 PM