Redzuan Muharam

Miri: Mulianya hati Mohammad Ai'nli Akhbar Malik, pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng di sini, yang sanggup memberikan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR) untuk menyelamatkan nyawa seekor anak kucing jantan.

Mohammad Ai'nli, 32, memberikan bantuan kecemasan itu ketika menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Luak di sini, kelmarin.

Tindakannya mendapat perhatian netizen hingga tular di media sosial selepas videonya melakukan CPR terbabit dimuat naik Penolong Penguasa Bomba Zon Miri, Jessbent Jinus di aplikasi TikTok.

Mohammad Ai'nli berkata, dia bersama rakan sepasukan tiba di lokasi kejadian pada 12 tengah hari selepas menerima panggilan kecemasan untuk membantu BBP Miri Central.

"Setibanya di lokasi, kebakaran sudah terkawal namun kami perlu melakukan kerja mengawal kebakaran daripada merebak.

"Ketika itu, seorang pegawai meminta saya memberi bantuan kepada dua ekor anak kucing milik mangsa kebakaran.

Video Mohammad Ai’nli ketika memberi bantuan CPR kepada seekor anak kucing yang tular di TikTok. (Gambar kanan) Mohammad Ai’nli bersama kucing peliharaannya. Foto Ihsan Mohammad Ai’Nli Akhbar Malik
Video Mohammad Ai’nli ketika memberi bantuan CPR kepada seekor anak kucing yang tular di TikTok. (Gambar kanan) Mohammad Ai’nli bersama kucing peliharaannya. Foto Ihsan Mohammad Ai’Nli Akhbar Malik

"Seekor dapat diselamatkan dan saya cuba selamatkan seekor lagi anak kucing dengan teknik CPR.

"Kira-kira setengah jam juga saya berusaha menyelamatkannya namun tidak berjaya apabila anak kucing itu akhirnya mati walaupun terdengar suaranya mengiau di hujung hayat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sepanjang 11 tahun bertugas dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Ai'nli berpengalaman menjalankan pelbagai misi menyelamat malah tugas pertama diterimanya juga membabitkan kes kucing.

Bagaimanapun, hatinya tetap tersentuh setiap kali melihat haiwan menjadi mangsa dalam insiden kebakaran atau lain-lain lagi.

"Saya seorang pencinta kucing jadi tidak boleh lihat keadaan seperti tempoh hari kerana sebak.

"Disebabkan itu, saya menangis kerana gagal menyelamatkan kucing berkenaan. Saya tahu ada rakan pegawai mengambil gambar dan video ketika itu cuma tak sangka dia berkongsi di media sosial hingga ia tular.

"Sudah menjadi tugas saya untuk menyelamat mangsa, malah CPR dilakukan itu sebenarnya adalah teknik diajar dalam kelas kawad mahir yang diadakan di balai ketika tiada kes kecemasan sebagai persediaan untuk anggota serta pegawai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 10:44 AM