GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Malaysia sedang menjalankan kajian keselamatan vaksin dengan kaedah pemerhatian longitudinal secara aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, populasi kajian terdiri daripada individu yang layak menerima vaksinasi Covid-19 di antara Februari 2021 dan Disember 2022.

Katanya, kajian itu akan mengumpulkan data dan analisis ke atas individu yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan seterusnya dimasukkan ke 216 hospital awam dan swasta dengan diagnosis seperti insiden platelet rendah (thrombocytopenia), pembekuan darah di saluran vena (venous thromboembolism), strok (angin ahmar), sakit jantung (myocardial infarction), miokarditis/perikarditis, gangguan rentak jantung, Bell's Palsy, dan sawan/kejang iaitu Adverse Event of Special Interest (AESI) yang menjadi fokus utama kajian.

"Analisis interim antara Februari dan September 2021 yang membabitkan data kemasukan sebanyak 433,674 juga mengambil maklumat vaksin yang diberi termasuk vaksin Comirnaty, AstraZeneca dan CoronaVac.

"Hasil analisis interim ini menunjukkan insiden AESI yang jarang berlaku adalah berbeza mengikut vaksin Covid-19, dos pertama dan kedua, kumpulan umur, dan jantina penerima vaksin.

"Bagaimanapun, kadar kejadian AESI selepas vaksinasi adalah agak rendah. Kajian SAFECOVAC ini menyimpulkan bahawa manfaat vaksin Covid-19 masih melebihi risiko," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa ini pasukan SAFECOVAC sedang menganalisis data interim untuk diterbitkan dan hasilnya akan dikongsi kepada umum tidak lama lagi.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa memantau keselamatan semua vaksin Covid-19 yang sudah didaftarkan secara bersyarat di Malaysia bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat.

"Sekiranya terdapat bukti yang jelas vaksin ini tidak selamat, KKM tidak akan bertolak ansur untuk mengambil tindakan regulatori yang sewajarnya.

"Rakyat Malaysia juga diminta supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menilai serta menyebar berita yang tidak benar terutamanya berita daripada sumber yang meragukan berkaitan vaksin Covid-19 termasuk program pemberian dos penggalak.

"KKM ingin menasihati dan menggalakkan rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan informasi kesihatan yang sahih berkenaan dos penggalak Covid-19 ini supaya berhubung terus dengan pakar atau pegawai perubatan yang bertauliah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 9:06 PM