Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Pengguguran Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat berikutan masalah disiplin, tidak perlu diperjelaskan kepada umum.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, isu itu adalah perkara dalaman parti dengan tindakan diambil hasil persetujuan jawatankuasa disiplin.

Beliau juga enggan mengulas secara terperinci masalah disiplin yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

"(Apa yang berlaku) Itu disiplin perkara dalaman parti untuk ahli-ahli parti sahaja dan sehingga ini, saya mendapat maklumat daripada akar umbi (bahawa) 99.9 peratus berpuas hati (setuju dengan pengguguran itu)," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Ditanya sama ada pengguguran itu berkaitan dengan Muafakat Nasional (MN), Ahli Parlimen Marang itu menegaskan ia hanya berkaitan disiplin Mohd Khairuddin.

"Dia belum dipecat (tetapi) digugurkan sahaja. Sebelum pada itu, sudah ada nasihat, sudah ada tindakan awal... kemudian gugur daripada AJK Pusat.

"Mengenai pengganti pula, itu akan dilihat apabila ada keperluan (dan) setakat ini, parti berjalan macam biasa," katanya.

Tambah Abdul Hadi lagi, tiada perpecahan yang berlaku dalam parti susulan pengguguran bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu.

"Tiada perpecahan, kita telah mengalami lebih besar daripada itu yang tubuh PAN (Parti Amanah Negara) anjuran DAP dan PKR tubuh PAN dapat menarik sebahagian besar PAS.

"(Tetapi) ia tidak terjejas bahkan krisis Kelantan pada 1979, ramai-ramai letak jawatan PAS (tetapi PAS) tak terjejas, bangkit semula dan tawan balik Kelantan," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul menuntut penjelasan rasmi pimpinan tertinggi PAS berhubung pengguguran Mohd Khairuddin sebagai AJK parti itu.

Dalam kenyataan itu, bekas Ketua Pemuda yang juga AJK PAS Pusat itu berkata, penjelasan mesti diberikan, bukan sahaja kepada ahli parti, tetapi secara menyeluruh untuk pengetahuan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 1:15 PM