GAMBAR hiasan. Pegawai PUSPAKOM melakukan pemeriksaan pada kenderaan di Petaling Jaya. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Pegawai PUSPAKOM melakukan pemeriksaan pada kenderaan di Petaling Jaya. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sempena perayaan Tahun Baru Cina, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) menganjurkan kempen pemeriksaan percuma kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan persendirian bermula 21 Januari hingga 31 Januari 2022.

Kempen itu dianjurkan selaras kempen #drivesafenoregrets iaitu Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela atau Voluntary Vehicle Inspection(VVI).

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Mohammed Shukor Ismail berkata, kempen itu adalah tanggungjawab korporatnya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan kenderaan khususnya ketika musim perayaan.

"VVI membabitkan 25 item pemeriksaan termasuk brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu,bawah dan atas kenderaan, cermin gelap dan lain-lain lagi.

"Tahun lalu kempen ini hanya ditawarkan di pusat pemeriksaan PUSPAKOM sahaja tetapi pada tahun ini, kempen ini juga ditawarkan kembali melalui Unit pemeriksaan bergerak PUSPAKOM.

"Orang ramai disarankan untuk rebut peluang ini bagi mendapatkan pemeriksaan secara percuma demi memastikan kenderaan anda selamat dipandu, khususnya kepada mereka yang akan memandu pulang ke kampung halaman pada Tahun Baru Cina ini," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, sebagai pilihan, orang ramai juga boleh mendapatkan pemeriksaan percuma ini secara "walk-in" di Unit Pemeriksaan Bergerak PUSPAKOM pada tarikh dan tempat yang ditetapkan bermula 9 pagi hingga 4 petang.

Beliau berkata, kemudahan secara 'walk-in' atau datang terus adalah di Lotus's Ampang (22 Januari), Seng Cars World, Sungai Long (23 Januari), Wisma DRB-HICOM Shah Alam (26 Januari), Lotus's Ara Damansara (29 Januari) dan RnR Dengkil arah selatan Lebuhraya Plus (30 Januari).

"Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan pemeriksaan percuma ini juga boleh membuat temujanji dalam talian MyPUSPAKOM di http://www.mypuspakom.com.my.

"Perkhidmatan menerusi temujanji ini ditawarkan di semua pusat pemeriksaan PUSPAKOM seluruh negara (kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang yang dikhaskan kepada kenderaan komersial berat sahaja) dari 8 pagi hingga 5 petang.

"Perkhidmatan percuma ini demi kepentingan pengguna jalan raya di Malaysia di musim perayaan, di mana bilangan kenderaan menggunakan jalan raya meningkat. Lazimnya fi bagi Pemeriksaan Kenderaan Sukarela adalah RM50 bagi sebuah kenderaan persendirian," katanya.

Mohammed Shukor berkata, seperti biasa, orang ramai yang hadir kepusat pemeriksaan PUSPAKOM atau Unit Pemeriksaan Bergerak PUSPAKOM untuk pemeriksaan kenderaan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 12:45 PM