WONG (kiri) dan Chong. FOTO Bernama
WONG (kiri) dan Chong. FOTO Bernama
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang bekas senator mewakili DAP Sabah mengumumkan keluar parti malam tadi.

Mereka ialah ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin; ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun dan bekas senator, Adrian Lasimbang.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, tindakan itu antara lain disebabkan kegagalan DAP melaksanakan perjuangan membela nasib rakyat Sabah.

"Kami memulakan kerjaya politik demi berjuang untuk Sabah, termasuk bagi lebih autonomi, infrastruktur yang lebih baik, malah lebih penting lagi, masyarakat inklusif yang mengatasi bangsa dan agama.

"Malangnya kami tidak mencapainya menerusi DAP Sabah," kata mereka.

Mereka turut menyatakan rasa kecewa terhadap kepemimpinan DAP Sabah di bawah pengerusinya, Datuk Frankie Poon Ming Foon yang didakwa kurang menunjukkan kepercayaan dalam jawatankuasa negeri.

Mereka juga mendakwa parti itu sudah hilang arah selain mengalami perbalahan dalaman dan masalah komunikasi teruk di antara pemimpinnya.

"Justeru, dengan berat hati kami mengumumkan akan meninggalkan DAP berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Berikutan tindakan dua ADUN terbabit, DAP Sabah kini mempunyai empat ADUN iaitu Frankie (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020, daripada tujuh kerusi yang ditandingi, DAP Sabah kalah satu kerusi iaitu di Bingkor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 10:29 AM