Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang pesakit obesiti dengan berat badan melebihi 200 kilogram (kg) dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) semalam untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami masalah kesihatan selain sukar bergerak.

Mohd Irfan Abdul Wafti, 37, dibantu pasukan Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) menggunakan peralatan khas, tilam serta ambulans dari rumahnya di Taman Sofea, Jalan Kuala Kedah ke HSB.

Menurut adiknya, Azli Mizi Abdul Wafti, 30-an berkata, abang sulung dari lima beradik itu sebelum ini dibantu pasukan bomba kira-kira dua tahun lalu untuk dihantar ke HSB selepas tidak dapat bergerak kerana memiliki berat badan lebih 200 kg.

Katanya, sepanjang setahun berada di hospital, abangnya diberi nasihat oleh pakar pemakanan dalam penjagaan makanan selain rawatan lain sehingga berjaya menurun berat sehingga 160 kg.

"Namun disebabkan Covid-19 melanda negara tahun lalu, abang dihantar pulang ke rumah dan perlu meneruskan diet sendiri.

"Tapi disebabkan dia hanya duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), abang tidak dapat mengawal pemakanannya menyebabkan berat badannya naik semula mencecah lebih 200 kg.

"Disebabkan itu, dia tidak dapat bergerak dan mengalami sakit seluruh badan malah sebagai adik, saya kasihan melihatnya dan menghubungi pasukan BSYJM untuk membantu," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Azli Mizi berkata, abangnya mempunyai masalah berat badan sejak kecil dan ketika sihat, dia meneruskan perniagaan keluarga mengusahakan katering.

Katanya, namun berat badannya terus meningkat pada 2020 menyebabkan dia dimasukkan ke hospital selepas tidak dapat bergerak dan hanya mampu mengengsot.

"Di rumah ini hanya tinggal saya, emak dan abang (Mohd Irfan) tetapi kami tak mampu menguruskan dia kerana bimbang melihat keadaannya dan lebih baik dia dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Pengarah BSYJM, Mahadzir Abdul Hamid yang turut menyertai operasi itu berkata, operasi membawa pesakit melalui operasi khidmat khas yang dilakukan dengan bantuan tujuh anggotanya.

Beliau berkata, operasi dilakukan selama 10 minit menggunakan tilam dan alat pengangkat khas dan dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak terjatuh.

"Kami menggunakan sebuah ambulans milik BSYJM dan sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk operasi ini.

"Operasi ini dilakukan secara percuma untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan dan orang ramai yang memerlukan khidmat kami, boleh menghubungi dan bergantung pada jarak," katanya yang berpangkalan di Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 9:42 AM
SUKARELAWAN BSYJM membantu membawa Mohd Irfan ke HSB. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SUKARELAWAN BSYJM membantu membawa Mohd Irfan ke HSB. FOTO Zuliaty Zulkiffli