GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Satu lagi kluster baharu jangkitan Covid-19 membabitkan institusi pendidikan menjadikan tiga kluster keseluruhannya dikesan di Negeri Sembilan setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, kluster terbaharu itu ialah Kluster Bukit Chengkau Ulu di Rembau.

Katanya, ia membabitkan sekolah tahfiz dengan 72 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC), semalam.

"Pihak Kementerian Kesihatan masih menyiasat punca kluster berkenaan dan akan diumumkan kemudian.

"Satu lagi kluster yang diumumkan di negeri ini hari ini ialah Kluster Tembok Jelebu 2 membabitkan dua kes.

"Setakat semalam, terdapat 218 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan semalam di negeri ini.

"Secara keseluruhannya terdapat 11 kluster (tempatan) yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan," katanya.

Sebelum ini dua kluster pendidikan dilaporkan di negeri ini iaitu Kluster Jalan Sikamat membabitkan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir dan Kluster Jalan Ban Aik 2 membabitkan Sekolah Menengah Agama Nilai, di sini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan media semalam menegaskan tiada keperluan untuk menutup sekolah berasrama di negara ini walaupun terdapat peningkatan kluster Covid-19 di sekolah itu kerana sebahagian besarnya hanya membabitkan gejala ringan ataupun tiada gejala.

Khairy berkata, penutupan sekolah dilihat sebagai langkah ke belakang memandangkan peratusan vaksinasi remaja sudah mencapai 90 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 9:08 AM