GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan pihaknya tidak pernah terbabit dalam mana-mana peraduan berkaitan pemberian hadiah saguhati membabitkan sebuah syarikat telekomunikasi.

SKMM memaklumkan, peringatan itu berbangkit susulan wujudnya tindakan oleh pihak tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai SKMM meminta supaya pengguna memaklumkan kepada pihak suruhanjaya sekiranya menerima sebarang surat atau pemberitahuan loteri daripada mana-mana emel atau syarikat yang mencurigakan.

"Ingin dijelaskan, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan suruhanjaya kelazimannya akan dilakukan mengikut saluran rasmi seperti laman sesawang atau platform media sosial suruhanjaya dan bukannya menggunakan nama individu tertentu serta penggunaan bahasa yang meragukan.

"Sehubungan itu, SKMM menggesa orang awam untuk tidak mudah terpedaya dengan emel sedemikian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pada masa yang sama, orang ramai perlu segera melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 9:16 PM