GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad
GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Satu lagi kluster baharu Covid-19 berkaitan jangkitan dalam institusi pendidikan dilaporkan di Sabah hari ini, membabitkan sebuah madrasah di daerah Putatan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Pandan-Pandan berlaku dalam kalangan kakitangan dan keluarga serta pelajar Madrasah Darul Hadis di Kampung Pandan Pandan, Mukim Pasir Putih.

Katanya, kluster berkenaan tercetus selepas kes indeks iaitu guru madrasah lelaki warga tempatan berusia 53 tahun disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan bergejala.

"Beliau yang mengalami gejala batuk, demam dan selesema menjalani saringan PCR pada 17 Januari dan disahkan positif Covid-19.

"Saringan ke atas kontak rapat yang terdiri daripada keluarga kes indeks, kakitangan dan pelajar madrasah mendapati 15 lagi dijangkiti menjadikan jumlah keseluruhan yang positif dalam kluster ini seramai 16 orang.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes baharu dilaporkan hari ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ia adalah kluster keempat berkaitan institusi pendidikan yang dilaporkan di Sabah sejak Ahad lalu selepas Kluster Jalan Pertukangan, Sandakan semalam; Kluster Puri, Ranau (kelmarin) dan Kluster Jalan Kepayan Lama, Tambunan (Ahad).

Sementara itu, Masidi berkata, peningkatan kluster aktif sejak kebelakangan ini menyebabkan kes baharu di Sabah melonjak semula dengan jumlah terbaharu 256 kes hari ini, naik 14 kes berbanding 242 kes semalam.

Beliau berkata, sebanyak 86 kes baharu pada hari ini disumbangkan melalui empat kluster aktif dengan jumlah tertinggi sebanyak 54 kes dari Kluster Sungai Trayon di Kinabatangan yang berkaitan jangkitan di tempat kerja.

Katanya, ia diikuti tiga kluster berkaitan institusi pendidikan iaitu Kluster Pandan Pandan, Putatan (14 kes), Kluster Jalan Pertukangan, Sandakan (sembilan kes dan Kluster Puri, Ranau (sembilan kes).

"Kemunculan kluster di beberapa daerah turut mempengaruhi jumlah kes harian di daerah terbabit.

"Jumlah kes di Kinabatangan melonjak kepada 55 kes hari ini daripada satu kes saja semalam disebabkan penambahan 54 kes baharu daripada Kluster Sungai Trayon.

"Jangkitan di daerah Putatan turut meningkat kepada 21 kes hari ini berbanding lima kes semalam, manakala di Ranau meningkat kepada 12 kes berbanding enam kes semalam.

"Penstabilan Kluster Jalan Pertukangan di Sandakan pula mengurangkan kes harian di daerah itu daripada 74 kes semalam kepada 12 kes sahaja hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun yang positif Covid-19 di Sabah mencatat jumlah agak tinggi hari ini iaitu 38 orang atau hampir 15 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

Selain itu, katanya seramai 29 orang (11.3 peratus) pesakit baharu yang didaftar hari ini didapati belum menerima vaksin.

"Kedua-dua statistik ini adalah satu gambaran masih ada dalam kalangan masyarakat yang cuai dengan mendedahkan anak kecil mereka kepada risiko jangkitan virus Covid-19 sedangkan mereka belum layak divaksin dan masih ramai orang yang sepatutnya layak menerima vaksin pula belum atau enggan divaksin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 9:03 PM