MANGSA menerima tiga jahitan akibat ditikam menggunakan gunting oleh suaminya sendiri. FOTO Ihsan PDRM
MANGSA menerima tiga jahitan akibat ditikam menggunakan gunting oleh suaminya sendiri. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Lahad Datu: Seorang lelaki tergamak menikam isterinya hanya kerana tidak diberikan wang untuk membeli dadah pada kejadian di rumah mereka di Kampung Tanjung Labian di sini, jam 7 petang semalam.

Mangsa yang berusia 21 tahun cedera di lengan kanan selepas ditikam beberapa kali menggunakan gunting.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, akibatnya, mangsa yang juga warga Filipina terpaksa menerima tiga jahitan.

"Suspek yang juga suami mangsa berusia 25 tahun menyerah diri di Balai Polis Desa Kencana, jam 12.30 tengah hari tadi.

"Siasatan awal mendapati, pasangan berkenaan berkahwin sejak lima tahun lalu dan mempunyai dua anak berusia dua dan tiga tahun.

"Suspek melakukan sedemikian terhadap isterinya selepas berang tidak diberikan wang yang dipercayai mahu digunakan untuk membeli dadah," katanya pada kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:39 PM