GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) Ismail Nasaruddin Abdul Wahab dipecat secara salah oleh Malaysia Airline System Bhd (MAS) pada 2013 susulan kenyataan yang dikeluarkan beliau mengenai syarikat penerbangan itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Nallini Pathmanathan turut mengesahkan pampasan RM211,444 yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan kepada Ismail Nasaruddin.

Ketika membenarkan rayuan Ismail Nasaruddin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada MAS pada 7 Oktober 2020, Nallini berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Ismail Nasaruddin adalah tidak berniat jahat, bukan dibuat secara melulu atau palsu.

Beliau berkata mahkamah menerima hujah bahawa kandungan kenyataan akhbar Ismail Nasaruddin adalah berkaitan dengan masalah dihadapi oleh kakitangan di tempat kerja dan kritikan terhadap kegagalan pihak pengurusan untuk menanganinya.

"Kami tidak fikir perayu (Ismail Nasaruddin) menyalahgunakan platform itu demi kepentingan peribadi beliau sebaliknya ia dilakukan atas nama NUFAM," katanya sambil menambah bahawa tindakan itu diambil bagi memperbaiki keadaan di tempat kerja.

Nallini, yang bersidang bersama-sama Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, berkata Mahkamah Rayuan telah terkhilaf kerana hanya memfokus kepada obligasi Ismail Nasaruddin mengikut kontrak pekerjaan atau perjanjian kolektif tanpa memberi pertimbangan kepada tanggungjawab beliau sebagai Presiden NUFAM.

Pada 2013, Ismail Nasaruddin telah membenarkan akhbar berbahasa Inggeris The Sun menemu bual beliau untuk menyuarakan kebimbangan kakitangan berkaitan dakwaan kerja berlebihan, gaji yang rendah, isu kesihatan dan keselamatan susulan langkah pengaturan semula pesawatnya serta arahan penurunan berat badan.

Beliau turut menggesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketika itu, Ahmad Jauhari Yahya, yang didakwa gagal melakukan perubahan dalam menyelesaikan masalah anak kapal kabin sejak mengambil alih tampuk pimpinan pada September 2011 sehingga menjejaskan semangat pekerja, meletak jawatan.

Ismail Nasaruddin kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Perusahaan selepas beliau dipecat pada Januari 2013.

Bagaimanapun, Mahkamah Perusahaan pada Februari 2019 telah membuat keputusan yang tidak memihak kepadanya menyebabkan beliau memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Ismail Nasaruddin dipecat secara salah kerana mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan sekerja.

Hakim Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan dan mengembalikan kes itu ke mahkamah sama untuk taksiran pampasan kepada Ismail Nasaruddin.

Susulan itu, Mahkamah Perusahaan memberikan pampasan sebanyak RM211,444 in kepada Ismail Nasaruddin.

Pada Oktober 2020, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan MAS.

Peguam Datuk S.Ambiga dan Lim Wei Jiet mewakili Ismail Nasaruddin manakala N.Sivabalah mewakili MAS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:30 PM