Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Formulasi vaksin Covid-19 Comirnaty yang akan digunakan dalam program vaksinasi kanak-kanak adalah formulasi khas untuk golongan itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia dibekalkan di dalam bebuli 10-dos (penutup jingga) dan perlu dicampur dengan 1.3 milimeter (ml) larutan garam biasa.

Katanya, setiap dos yang diberikan adalah 0.2 ml dan mengandungi 10mcg vaksin mRNA.

Menurutnya, dos ini adalah satu pertiga daripada dos yang digunakan di dalam dos dewasa.

"Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama.

"Berdasarkan data terkini yang diperoleh, sela masa lapan minggu di antara dua dos yang diberikan akan memberi kesan tindak balas imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi serta berpotensi untuk memberikan perlindungan yang lebih lama," katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata, selain itu, data ini juga menunjukkan sela masa itu mampu mengurangkan risiko miokarditis dan disyorkan oleh badan kesihatan seluruh dunia termasuk United Kingdom, Kanada dan Australia.

"Program vaksinasi Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menggunakan vaksin Comirnaty formulasi khas untuk kanak-kanak ini juga dilaksanakan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Israel, Australia dan Singapura.

"Real World Data melaporkan insiden miokarditis atau radang otot jantung setelah pengambilan vaksin mRNA adalah sangat rendah," katanya.

Beliau berkata, vaksin mRNA ini sudah menjalani kajian klinikal yang sangat ketat dan teliti bagi memastikan kualiti, keselamatan, serta keberkesanannya.

Katanya, hasil dapatan kajian klinikal vaksin menunjukkan keberkesanan sebanyak 90.7 peratus serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit Covid-19.

"Namun, seperti vaksin lain, vaksin Comirnaty® formulasi khas untuk kanak-kanak ini juga boleh memberikan kesan sampingan vaksin yang biasa dialami oleh kanak-kanak seperti sakit pada tempat suntikan, kemerahan dan bengkak.

"Tindak balas sistemik pula termasuk keletihan, pening kepala, sakit otot, menggigil dan demam.

"Kebanyakan kesan sampingan vaksin ini adalah ringan dan sederhana, serta tidak berpanjangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:14 PM