GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret hari ini melepas tanpa membebaskan anak lelaki pengasas kosmetik Dnars Skincare, Mohamed Aqbar Hakim Jasman atas pertuduhan mengugut bapa tirinya melalui aplikasi WhatsApp, dua tahun lalu.

Majistret S. Mageswary memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memaklumkan bahawa pengadu dalam kes itu, Nurulain Syahirah Mat Hasmuni dan suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim yang juga mangsa dan bapa tiri tertuduh tidak hadir ke mahkamah hari ini bagi memberi penjelasan mengenai hasrat mereka untuk tidak meneruskan kes terhadap Mohamed Aqbar walaupun mereka sudah diberikan sapina.

"Mahkamah melepas tanpa membebaskan kamu (tertuduh) daripada pertuduhan ini dengan mengambil kira pengadu yang diserahkan dengan sapina gagal hadir tanpa alasan kukuh dan wang jaminan (RM4,000) dikembalikan kepada tertuduh.

"Namun, terpulang kepada pihak pendakwaan untuk menuduh semula kamu atau tidak selepas ini," kata Mageswary pada prosiding hari ini yang ditetapkan untuk hari pertama perbicaraan.

Terdahulu, Najihah Farhana berkata pasangan suami isteri itu telah menerima sapina untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu, namun mereka tidak hadir di mahkamah hari ini tanpa memberi sebarang alasan.

"Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula Disember tahun lalu, namun tertuduh ketika itu berada di luar negara dan tidak hadir pada prosiding yang ditetapkan.

"Saya mohon tarikh perbicaraan baharu dengan kehadiran saksi-saksi (mangsa dan pengadu) supaya kes ini boleh diselesaikan menerusi perbicaraan penuh," katanya yang turut memaklumkan terdapat perkembangan baharu bahawa pengadu telah menarik balik laporan polis terhadap tertuduh.

Peguam Muhammad Nor Izzat Nordin yang mewakili Mohamed Aqbar berkata pihaknya bersedia untuk perbicaraan kes itu, namun pengadu telah menarik balik laporan polis dan tidak berniat untuk meneruskan kes.

"Saya percaya sekiranya pengadu hadir di mahkamah hari ini tujuannya hanya untuk memberi penjelasan kenapa beliau menarik semula kes itu, sama ada pengadu faham kesan dan akibat daripada tindakan tersebut dan akhirnya terpulang kepada Majistret untuk membuat perintah sama ada membebaskan tertuduh atau melepas tanpa membebaskannya daripada pertuduhan tersebut," katanya.

Pada 1 Julai 2020, Mohamed Aqbar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menakutkan secara jenayah terhadap Ahmad Shah, 45, dengan ugutan hendak menyebabkan kematian iaitu dengan menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang di sini pada 8.45 malam, 15 Jun 2020 lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:03 PM