Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Semua kes penjualan sijil vaksinasi palsu dikesan membabitkan pihak swasta.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, dapatan itu hasil siasatan dan semakan dilakukan KKM dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"PDRM berjaya mengesan dan melaporkan siasatan ke atas beberapa premis pengamal perubatan swasta yang didakwa terbabit dalam penjualan sijil vaksinasi.

"Hasil siasatan dan semakan oleh KKM dengan PDRM mendapati setakat ini, kesemua kes yang dikesan adalah membabitkan pelaksanaan vaksinasi berbayar yang dijalankan oleh pihak swasta (Private Purchase Vaccination)," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Khairy berkata, melalui prosedur yang ditetapkan, semua proses pemberian vaksinasi yang dijalankan oleh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan 'Private Purchase' perlu dilaporkan kepada KKM melalui sistem MyVAS bagi tujuan rekod dan pengeluaran sijil vaksinasi.

"Bagaimanapun, dalam insiden ini, apa yang berlaku adalah pengamal perubatan swasta yang terbabit memberikan laporan pemberian vaksinasi palsu kepada KKM.

"Buat masa ini siasatan masih dijalankan oleh polis dan KKM akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya," katanya.

Sebelum ini, PDRM mengesan dan menerima laporan di empat negeri iaitu Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan berhubung klinik swasta menjual sijil vaksinasi palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:54 PM