SUSPEK yang dipercayai memenggal kepala ibu kandung.
SUSPEK yang dipercayai memenggal kepala ibu kandung.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki memenggal kepala ibu kandungnya di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, dekat sini, pada 15 Februari lalu sudah lengkap dan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya akan merujuk kepada pejabat TPR untuk tindakan pendakwaan.

"Kita sudah mengambil keterangan ahli keluarga termasuk suami mangsa untuk membantu siasatan.

"Bagaimanapun, reman ke atas suspek masih kekal sehingga Sabtu ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tempoh reman itu akan dilanjutkan dan ia terpulang sepenuhnya kepada arahan lanjut pejabat TPR.

"Kita menjangkakan pendakwaan suspek akan dijalankan minggu depan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan suspek yang juga seorang penganggur berusia 28 tahun bertindak kejam memenggal kepala mangsa berusia 56 tahun sehingga maut dengan menggunakan parang.

Kejadian kira-kira 5 petang itu disedari apabila seorang daripada anak mangsa gagal menghubungi ibunya dan pergi ke rumah sebelum melihat keadaan lokasi yang berlumuran darah.

Suspek yang melarikan diri dengan bersembunyi di dalam semak belakang rumahnya bagaimanapun berjaya ditahan polis dengan bantuan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:52 PM