RAFIDAH (kanan) ketika menerima sumbangan berupa lampin pakai buang daripada PERKESO. FOTO Mohd Khidir Zakaria
RAFIDAH (kanan) ketika menerima sumbangan berupa lampin pakai buang daripada PERKESO. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: "Terima kasih Harian Metro. Ramai yang menghubungi saya dan menderma sebaik kisah kami didedahkan kepada umum," ujar Rafidah Abdul Ghapar, 47.

Kepayahan hidup dilalui Rafidah meruntun perasaan ramai pihak sebaik mengetahui dia menjaga suami yang terlantar sakit angin ahmar manakala anaknya pula menghidap penyakit ketumbuhan berhampiran otak.

Lebih menyedihkan apabila Rafidah yang berniaga burger tidak mampu menyediakan wang RM5,000 bagi membolehkan anaknya Nur Ahmad Rabbani, 19, menjalani pembedahan.

Menurut Rafidah, sebaik kisahnya tersiar dalam akhbar Harian Metro kelmarin, dia dihubungi ramai penderma yang bersimpati dengan nasib keluarganya yang hanya bergantung kepada jualan gerai burger.

"Suami saya, Rokhaizat Hashim, 55, yang sebelum ini bekerja di Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) kini hanya terlantar sakit dan perlukan penjagaan sepenuh masa.

"Sebaik kisah kami disiarkan, saya menerima banyak panggilan dan ramai yang membantu termasuk jiran setempat. Malah ada individu dari negeri lain turut menyatakan simpati," ujarnya.

Katanya, Nur Ahmad Rabbani yang sepatutnya menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 24 Januari ini sebaliknya ditangguh ke tarikh lain.

"Saya berdoa Rabbani yang kerap hilang penglihatan mata kanan kesan penyakit dihadapi mampu pulih sedia kala.

"Pada mulanya saya buntu memikirkan cara mendapatkan wang untuk menampung kos pembedahan itu. Namun saya bersyukur apabila ramai yang sudi membantu," katanya selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di rumahnya di Bandar Springhill di sini, tadi,

"Alhamdulillah, banyak pihak yang datang membantu seperti Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Cawangan Port Dickson dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya juga menerima bantuan JKM sebanyak RM500 sebulan dan ia saya gunakan untuk membeli ubat dan susu khas serta keperluan suami," katanya.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, pihaknya turut simpati dengan nasib keluarga ini selepas kisahnya tersiar dalam Harian Metro.

"Kami datang membawa lampin pakai buang untuk kegunaan suaminya yang kini terlantar dan akan cuba membantu sebuah kerusi roda untuk kegunaannya," katanya.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 5:54 PM