Oleh Asrol Awang


Kuantan: Seorang pengarah dan artis kebudayaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memalsukan dokumen dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Dayang Kartini Awang Bujang, 46, dan Mardziana Che Mohd Amin, 36, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan bersama di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama memalsukan dokumen iaitu dokumen arahan pembayaran berkaitan perkhidmatan menyediakan aksesori set kepala pelanduk untuk kumpulan kesenian jabatan atas nama Anas Niaga berjumlah RM9,920 kepada jabatan itu pada 26 Jun 2020.

Mereka didakwa mengetahui perkhidmatan itu tidak dilaksanakan oleh Anas Niaga dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan untuk hendak menipu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamariah Seman mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Namun, peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon supaya jaminan yang lebih rendah.

"Dayang Kartini yang mempunyai lima anak sudah berkhidmat dengan JKKN sejak 2001 dan memberikan kerjasama penuh ketika siasatan.

"Mardina yang berpendapatan sekitar RM3,000 sebulan sebagai artis kebudayaan mempunyai tiga anak manakala suaminya tidak bekerja," katanya.

Ahmad Zamzani menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan mengenakan dua syarat tambahan untuk mereka melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan bermula bulan ini dan menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 5:49 PM