FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nor Azizah Mokhtar


Ampang: Akibat gagal melangsaikan hutang, seorang lelaki warga asing diculik sekumpulan lelaki di sebuah kawasan di Pandan Indah, di sini, Isnin lalu sebelum memaksa isteri lelaki itu membayar sejumlah wang tebusan.

Bagaimanapun, kecekapan polis berjaya menyelamatkan mangsa selain menahan tiga suspek yang mendalangi jenayah itu, tidak sampai 24 jam selepas polis menerima aduan mengenai kejadian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, isteri mangsa yang juga pekerja pembersihan warga asing berusia 41 tahun, menerima panggilan daripada suaminya pada 12.01 tengah malam kelmarin memberitahu dia diculik.

"Ketika menerima panggilan itu, isteri mangsa berada di kediamannya di Taman Cahaya Pandan, Pandan Jaya. Suaminya memberitahu dia berada di Shah Alam dan dipercayai diculik beberapa lelaki warga asing.

"Dia kemudian diarahkan suspek untuk meminta isterinya membayar wang berjumlah RM5,000 untuk membebaskannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, ekoran aduan diterima daripada isteri mangsa, polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya berjaya menangkap tiga lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang warga asing, kelmarin.

Beliau berkata, semua suspek berusia 26 hingga 40 tahun ditangkap di tepi sebuah restoran di Taman Cempaka, Ampang kira-kira 5.55 petang dan mangsa berjaya diselamatkan.

"Mangsa berusia 43 tahun didapati bengkak di bahagian muka dipercayai akibat dipukul.

"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat masalah hutang mangsa berjumlah RM151,000 yang gagal dilangsaikan sejak tiga tahun lalu.

"Semakan mendapati seorang suspek lelaki tempatan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan sudah dihukum, manakala ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek didapati negatif," katanya.

Beliau berkata, seorang suspek warga asing yang ditahan pula gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri sah.

Menurutnya, semua suspek kini direman empat hari sehingga Sabtu ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan beberapa suspek yang masih bebas sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 5:35 PM