Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Lebuhraya PLUS akan dipantau Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) selaras dengan peranannya dalam memperjuangkan dan mempromosikan persaingan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch 'n Go Sdn Bhd (Touch 'n Go) berhubung pelaksanaan RFID.

"Perjumpaan itu untuk mendapatkan pemahaman lebih lanjut serta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID.

"Walaupun inovasi seperti pengenalan RFID dalam sistem kutipan tol ini dialu-alukan, MyCC percaya sistem itu perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mencapai objektifnya.

"MyCC mengambil maklum mengenai rancangan bagi memastikan peralihan lancar kepada RFID untuk pengguna lebuh raya dan kerjasama antara PLUS dan Touch 'n Go dalam sistem kutipan tol," katanya dalam kenyataan, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Iskandar berkata, dalam mesyuarat itu, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya memandangkan terdapat peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS,

Menurutnya, ia termasuk memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit, tetapi sistem e-wallet lain.

"Dengan mengambil kira tanggungjawab khas pada kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.

"Sekiranya sebarang isu persaingan dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan serta diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian.

"MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 2:21 PM