Hasni (dua dari kiri) merasmikan Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Medini di sini, hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Hasni (dua dari kiri) merasmikan Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Medini di sini, hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Iskandar Puteri: Jika ada pun Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh terdekat, ia sama sekali tidak akan mengganggu sebarang urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Itu jaminan Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, malah yakin pelbagai program yang dirancang kerajaan negeri

termasuk inisiatif yang dibentangkan dalam Bajet Johor 2022 sebelum ini akan dilaksanakan dan berjalan seperti biasa.

"Jika PRN Johor diadakan pelbagai program yang dirancang akan berlangsung seperti biasa.

"Ia tidak akan mengganggu pelbagai perancangan seperti diumumkan menerusi Bajet Johor 2022," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Medini, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad.

Kenyataan terkini Hasni itu turut mengukuhkan lagi spekulasi bahawa Johor bakal berdepan pelaksanaan PRN dalam tempoh terdekat.

Kerajaan Johor sebelum ini menyatakan akan meneliti kedudukan semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam membuat pertimbangan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan atau sebaliknya.

Ia susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian, pada 21 Disember lalu.

Sementara itu, Mazlan berkata, sebagai Exco, dia akur dengan sebarang keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa itu berkata, sementara itu, dia akan memfokus dan menjalankan tugasan mengikut portfolio demi kemakmuran negeri ini.

"Banyak spekulasi menyatakan dewan akan bubar dan ada cerita saya akan menjadi calon bebas, ia adalah propaganda politik semata-mata.

"Saya tiada kuasa, siapalah saya, sebagai Exco saya ikut apa jua arahan menteri besar walaupun saya daripada parti berlainan iaitu

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Sekiranya dewan dibubar maksudnya saya bersara dan sehingga kini saya juga tiada perancangan untuk lompat parti sebagainya.

"Keputusan pelaksanaan PRN tertakluk kepada Menteri Besar Johor dengan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar," katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tebrau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 1:47 PM