ANGGOTA dari BBP Ipoh dibantu anggota BBP Meru Raya menyelamatkan mangsa banjir di Taman Desa Impian, Bercham. FOTO Ihsan JBPM Perak
ANGGOTA dari BBP Ipoh dibantu anggota BBP Meru Raya menyelamatkan mangsa banjir di Taman Desa Impian, Bercham. FOTO Ihsan JBPM Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Beberapa lokasi di sini, dilanda banjir kilat selepas hujan lebat sejak lewat petang, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.27 malam mengenai banjir yang melanda kawasan Bercham, di sini.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dibantu anggota BBP Meru Raya bergegas ke lokasi bagi menyelamatkan mangsa.

Menurutnya, air dianggarkan naik sehingga setengah meter, dan pemantauan kini sedang dilakukan dari semasa ke semasa.

Menerusi gambar yang dikongsikan JBPM Perak, bot kecil turut digunakan bagi operasi menyelamat di Taman Desa Impian, di sini, selain beberapa kenderaan diletakkan di kawasan perumahan turut digenangi air.

Difahamkan, banjir kilat turut berlaku di kawasan Taman Perpaduan, Taman Cempaka, Bandar Seri Botani, Tambun, Greentown, serta berhampiran Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Ipoh iaitu di Stadium Badminton.

Media sosial seperti Facebook dan Twitter turut memuatkan gambar serta rakaman video yang dikongsikan warganet mengenai banjir di kawasan terbabit masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 11:33 PM