GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Putrajaya: Perdana Menteri menegaskan pengguna perlu diberi kebebasan memilih sama ada mahu menggunakan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) atau sebaliknya.

Malah kabinet memutuskan, sebarang keputusan membabitkan bayaran yang perlu dibayar rakyat, pihak tertentu perlu merujuk kabinet terlebih dulu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Kabinet hari ini membincangkan mengenai isu itu dan sepakat dengan ketetapan supaya rakyat mesti diberikan pilihan untuk memilih.

Beliau turut mengambil contoh perkhidmatan Touch 'n Go yang diperkenalkan sebelum ini yang tidak dilaksanakan secara terus namun berbentuk pilihan kepada rakyat.

"Cuma kita kata cadangan bagus tetapi dari segi pengguna mereka mesti diberi pilihan sama ada nak guna RFID atau nak guna Touch 'n Go atau Smartag.

"Dari segi lorong, jangan semua RFID kalau kita diberi pilihan. Kalau ada 10 lorong RFID, selebihnya lorong Touch 'n Go dan Smartag.

"Kita tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya. Berikan mereka kebebasan memilih. Serah kepada pengguna untuk buat pilihan. Kalau mereka rasa RFID nak mudahkan jalan, mereka boleh tukar," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan pelaksanaan RFID sebagai 'pilot projek' (projek perintis).

"Kalau 'pilot projek', beberapa bulan selepas itu barulah kita serahkan kepada pengguna membuat pilihan akhir.

"Kalau mereka merasakan RFID memudahkan perjalanan mereka, mereka boleh migrate (berpindah) kepada RFID.

"Kita minta Menteri KKR (Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk memanggil pemegang konsesi ini untuk berbincang.

"Kita juga buat keputusan untuk akan datang ini kalau ada membabitkan bayaran kepada rakyat, rujuk kepada kabinet dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 11:04 PM