SUSPEK yang ditahan bersama dadah yang dirampas. FOTO Ihsan Polis.
SUSPEK yang ditahan bersama dadah yang dirampas. FOTO Ihsan Polis.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Pasangan kekasih antara tiga individu ditahan polis selepas disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah kediaman di Taman Ayer Molek, di sini, semalam.

Kesemua suspek itu ditahan pada 12.30 tengah malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Melaka Tengah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan tiga individu termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 31 tahun.

Beliau berkata, kedua-dua suspek lelaki adalah adik beradik manakala wanita itu dikatakan teman wanita kepada lelaki berusia 24 tahun.

"Ketika serbuan dan hasil pemeriksaan dilakukan di rumah terbabit pihak polis turut merampas kira-kira 85 gram dadah disyaki heroin.

"Siasatan dijalankan juga mendapati mereka ini disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sejak sebulan lalu di kawasan Ayer Molek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, pasangan adik beradik itu adalah penganggur dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif MOP.

"Sementaram suspek wanita yang juga pembantu kedai makan positif Methamphetamine.

"Semakan juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan dadah," katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka kini direman tujuh hari sehingga 24 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Sementara itu, mengulas lanjut Zulkiflee berkata, sejak awal bulan ini sehingga 17 Januari, JSJN Melaka berjaya menahan seramai 274 orang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

"Malah pelbagai jenis dadah berserta air dan daun ketum yang kesemuanya bernilai lebih RM22,800 turut dirampas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 9:18 PM