Syed Saddiqkeluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mendengar pertuduhan mengenai kes berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan wang sumbangan dan pengubahan wang haram. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syed Saddiqkeluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mendengar pertuduhan mengenai kes berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan wang sumbangan dan pengubahan wang haram. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ahmad Johari Mohd Ali
[email protected].m

Kuala Lumpur: Hakim Mahkamah Tinggi menasihatkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berhubung kes pecah amanah, menyalahgunakan harta dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di media sosial.

Dalam prosiding sebutan kes itu hari ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, beliau memahami keadaan sukar yang dialami bekas Menteri Belia dan Sukan itu tetapi Syed Saddiq perlu membezakan kedudukannya antara seseorang yang didakwa dan sebagai ahli politik.

Sehubungan itu, Mohamed Zaini menasihatkan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq untuk mengingatkan anak guamnya mengenai perkara itu dari semasa ke semasa.

Beliau memberikan nasihat itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah, Syed Saddiq sebelum ini ada membuat hantaran di Facebook mengenai perjalanan kesnya di media sosial yang juga seolah-olah ia adalah pembelaan awal dalam kes dihadapi beliau.

Wan Shaharuddin berkata, beliau mahu mengingatkan Syed Saddiq supaya lebih berhati-hati kerana apa-apa kenyataan yang dikeluarkan itu boleh digunakan terhadap beliau (di mahkamah).

"Ini bukan satu permohonan gag order (perintah larangan), cuma nasihat daripada orang yang lebih matang daripada tertuduh," katanya.

Sementara itu, Gobind berkata, anak guamnya perlu diberi lebih fleksibiliti bagi menjelaskan kepada orang ramai yang hendak mengetahui mengenai kes yang dihadapinya di mahkamah.

Bagaimanapun katanya, beliau mengambil maklum mengenai teguran hakim itu.

Sementara itu, Syed Saddiq mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan harta dan dua tuduhan pengubahan wang haram dibacakan sekali lagi terhadapnya hari ini.

Beliau sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Johor Bahru, bagaimanapun mahkamah pada 25 November tahun lalu membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes itu (ke Mahkamah Tinggi).

Mahkamah turut menetapkan pada 24 Mac ini bagi pengurusan kes.

Syed Saddiq, 28, didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad, milik Armada Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, boleh membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Ogos tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang juga hasil daripada aktiviti haram yang didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 1:48 PM