LAPORAN Harian Metro mengenai kemalangan berkenaan.
LAPORAN Harian Metro mengenai kemalangan berkenaan.
Siti Rohana Idris

l

Kota Bharu: Polis masih mengesan pemandu kenderaan dalam kejadian langgar lari yang menyebabkan dua maut di Kilometer 13, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, tengah malam Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, anggotanya turut menjalankan pemeriksaan di beberapa bengkel di sekitar Kota Bharu bagi memastikan sama ada terdapat kenderaan yang dibaiki ada persamaan dengan kejadian itu.

"Dalam kejadian tengah malam Jumaat lalu itu, berdasarkan serpihan komponen yang ditemukan di lokasi, kami mengesyaki dua mangsa itu dilanggar oleh Perodua Myvi berwarna oren.

"Bagaimanapun, menerusi pemeriksaan yang dibuat di beberapa bengkel membaiki kereta sekitar daerah ini, tiada penemuan yang berkaitan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan yang dibuat sama ada daripada pemandu atau mana-mana saksi, setakat ini.

Bagaimanapun katanya, siasatan tetap dijalankan dan beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan balai polis berhampiran.

"Selain itu, kami juga menjalankan pemeriksaan sama ada secara 'snap check' atau ketika sekatan jalan raya untuk mengesan individu berkenaan bagi siasatan lanjut," katanya.

Dalam kejadian jam 12.01 tengah malam Jumaat lalu, dua pendawai elektrik, Shahri Azlin Ibrahim, 36, dan rakan sekerjanya, Muhamad Safuan Mohd Shukri, 25, maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan.

Kedua mangsa yang dalam perjalanan untuk bekerja di Kok Lanas, meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan parah di bahagian kepala dan Shahri Azlin juga putus tangan kanan, selepas melambung sejauh 30 meter sebelum terseret di atas jalan.

Berita berkaitan:

  • Dua sahabat maut kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 8:30 AM