GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan mengenai penjualan pelekat teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang sepatutnya hanya berharga RM1.

Najib berkata, ketika ini harga pelekat RFID itu dijual pada harga RM35, yang sepatutnya hanya diberi percuma saja.

"Kos pelekat RFID pasif biasanya bawah RM1 sekeping.

"Jadi, kenapa pula dijual pada harga RM35?

"Dan adakah syarikat Touch 'n Go atau Plus Malaysia Berhad (PLUS) akan memberi rebat bagi pemilik SmartTAG yang tidak berfungsi lagi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID?," katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Najib mendakwa, syarikat Touch 'n Go dimiliki CIMB Bank Bhd (CIMB), Ant Group dari China, syarikat insurans AIA Group dari Amerika Syarikat dan firma pelaburan Bow Wave Capital dari New York.

"Pada ingatan saya, pelekat RFID sepatutnya diberi percuma kepada setiap pelanggan Touch 'n Go sebab kosnya rendah dan ia memang percuma dari 2018 hingga Februari 2020.

"Bermula 15 Februari 2020, ianya dijual pada harga RM35 sekeping pula," katanya.

Najib berkata, Touch 'n Go sudah bernilai RM3 bilion apabila CIMB memperolehi keuntungan tambahan sebanyak RM1.16 bilion pada tahun lalu akibat kenaikan nilai Touch 'n Go.

"Jadi, sebab apa masih mahu jual pelekat RFID yang kosnya kurang dari RM1 pada harga RM35 sekeping?

"Jika tidak mahu beri percuma lagi turunkanlah harganya ke RM5," katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak tertentu fokus kepada perniagaan teras iaitu e-wallet saja.

"Bukan melalui keuntungan melampau melalui penjualan pelekat.

"Jangan jaga kepentingan bank besar sahaja sehingga membebankan rakyat biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 5:49 PM