Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap mercun, bunga api yang dijual secara terbuka di kaki lima premis di Jalan Kempas di Kuching, semalam. Foto Melvin Joni
Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap mercun, bunga api yang dijual secara terbuka di kaki lima premis di Jalan Kempas di Kuching, semalam. Foto Melvin Joni
Melvin Joni

Kuching: Lelaki ditahan polis selepas dikesan menjual mercun dan bunga api tanpa permit secara terbuka di kaki lima sebuah premis di Jalan Kempas di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20 tahun itu ditahan pada jam 4.50 petang dalam serbuan yang dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Pelesenan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

"Pasukan serbuan turut merampas pelbagai mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM9,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Ahsmon menegaskan pihaknya akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti penjualan mercun dan bunga api tanpa permit yang sah.

Menurutnya, pihak polis memandang serius perkara berkenaan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyokong aktiviti itu dengan membeli mercun dan bunga api yang terdapat di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 5:28 PM