NOOR Azman (tengah) melawat Abdul Rashid di rumahnya Kampung Haji Abas, Bongor. FOTO Safuri Kamarudin
NOOR Azman (tengah) melawat Abdul Rashid di rumahnya Kampung Haji Abas, Bongor. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

Baling: "Saya rela berhenti kerja untuk menjaga ayah yang terlantar sakit selepas menghidap penyakit kanser usus dan tulang pinggul.

"Setiap hari saya pastikan rutin ayah dijaga dengan baik, termasuk mencuci bekas pembedahan bagi mengelak jangkitan kuman," kata Noor Shahirah Mohamad Rashid.

Noor Shahirah, 21, berkata, ayahnya, Mohamad Rashid Abdul Aziz, 50, menghidap kanser sejak 2019 lalu dan perlu dijaga dengan rapi selepas menjalani pembedahan Disember lalu.

Dia berkata, luka kesan pembedahan ayahnya perlu dicuci setiap dua jam sekali supaya tidak dijangkiti kuman dan perlu menjaga pemakanan bagi mengelakkan kesan luka merebak.

"Dulu saya bekerja kilang di Sungai Petani dan pembantu kantin sekolah tetapi memandangkan keadaan ayah yang sakit saya mengambil keputusan berhenti dan menjaga ayah sepenuh masa.

"Emak (Norhashimah Mohd Tajuddin, 46) keluar awal bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pejabat kerajaan di sini dan menggalas sebagai ketua keluarga untuk mencari rezeki.

"Dengan pendapatan tidak seberapa itulah emak berbelanja untuk makan minum, persekolahan dua adik dan membayar bil utiliti selain keperluan lain," katanya ketika menerima kunjungan Biro Umno Bahagian Baling di rumahnya Kampung Haji Abas, dekat sini.

Menurutnya, mereka hanya tiga beradik dan dua adiknya Nurul Shahidah, 17, dan Mohd Shahir, 14, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongor, dekat sini.

"Saya yang mengurus makan minum keluarga termasuk berulang alik menghantar dan menjemput adik di sekolah serta memasak manakala emak mencari rezeki.

"Nak keluar lama tak boleh kerana perlu sedia makan minum ayah , mandi dan tukar lampin pakai buang," katanya.

Beliau berkata, ayah perlu mendapat rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang (HPP) setiap dua minggu sekali.

"Pada jiranlah tempat kami meminta tolong untuk menghantar ayah ke Hospital di Pulau Pinang.

"Meskipun ayah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi wang itu untuk membeli ubat-ubatan dan keperluan perubatan," katanya.

Shahirah berkata, selagi hayat ada dia akan menjaga ayah dengan baik dan terkilan tidak mampu keluar bekerja membantu keluarga.

"Sebagai anak sulung saya menunaikan tanggungjawab di rumah untuk membantu emak yang keluar mencari rezeki setiap hari.

"Saya juga ingin adik berjaya dan tidak tercicir persekolahan demi masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 5:00 PM