RAFIDAH (kiri) dan anaknya, Nur Ahmad Rabbani yang menghidap penyakit ketumbuhan otak menjaga Rokhaizat di Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
RAFIDAH (kiri) dan anaknya, Nur Ahmad Rabbani yang menghidap penyakit ketumbuhan otak menjaga Rokhaizat di Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga apabila seorang wanita tidak hanya perlu menjaga suami terlantar sakit angin ahmar malah perlu memikirkan nasib anaknya yang menghidap penyakit ketumbuhan otak.

Bagi meneruskan kehidupan, ibu kepada lima anak berusia dari 17 hingga 25 tahun hanya berniaga di gerai burger di kawasan perumahannya di Bandar Springhill di sini.

Menurut Rafidah Abdul Ghapar, 47, suaminya, Rokhaizat Hashim, 55, sebelum ini bekerja di Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sebelum terlantar akibat penyakit dihidapi.

"Tidak cukup dengan itu, saya kini diuji lagi apabila anak keempatnya, Nur Ahmad Rabbani, 19, pula disahkan doktor menghidap ketumbuhan hampir dengan otak dan perlu dibedah minggu depan.

"Apa yang dialami Rabbani itu benar-benar menguji ketabahan kami yang sememangnya hidup dalam kesusahan," katanya.

Rafidah berkata, mengikut jadual yang diberikan doktor, Rabbani akan menjalani pembedahan pada 24 Januari ini namun kami perlu menyediakan kos sebanyak RM2,000.

"Itu kos untuk pembedahan sahaja, tidak termasuk belanja sewa kereta, makan dan minum kami lagi sementara anak yang lain menjaga ayah mereka di rumah," katanya.

Ujarnya, dia difahamkan ketumbuhan atau tumor di kepala anaknya sebesar empat sentimeter berhampiran otak.

"Keadaan ini menyebabkan Rabbani kerap hilang penglihatan mata sebelah kanan dan dia terpaksa berhenti kerja berpunca penyakit dihidapi.

"Kadang-kadang saya hilang punca, tak tahu nak mengadu kepada siapa lagi. Ia benar-benar membuatkan kami sekeluarga tersepit dengan masalah ini," katanya.

Menurutnya, anak sulung yang bekerja sebagai penghantar makanan di sekitar daerah ini sedikit sebanyak membantu mereka sekeluarga.

"Malah kami terpaksa berniaga burger bagi menampung belanja dapur selain kos membeli lampin pakai buang dan susu khas berharga RM100 satu tin untuk suami. Biasanya susu berkenaan hanya bertahan untuk empat hari sahaja.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Norfadilah Mansor berkata, pihaknya akan cuba membantu mengumpulkan dana yang diperlukan namun ia bergantung kepada jumlah sumbangan yang diterima daripada orang ramai.

Orang ramai yang mahu membantu boleh terus menghubungi Rafidah di talian 010-8642566 bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 4:46 PM