Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kenaikan harga barangan basah bukan hanya membebankan pengguna malah memberi kesan terhadap peniaga terutama peniaga kecil.

Beberapa peniaga yang ditemui melahirkan rasa bimbang dengan kenaikan harga barangan basah terutama apabila menjelang musim perayaan.

Wali Ridzuan Hudin, 36, berkata, harga ayam segar dijualnya ketika ini adalah RM9 sekilogram yang berada di bawah harga maksimum Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) iaitu RM9.10 sekilogram.

Katanya, dia mengambil keputusan menjual pada harga sama bagi mengekalkan pelanggan.

"Namun apa yang membimbangkan apabila pembekal mula mengehadkan pengambilan bekalan ayam.

"Biasanya saya akan mengambil bekalan ayam antara 100 hingga 200 kilogram (kg) atau 100 ekor sehari tetapi bermula hari ini, pembekal sudah mengehadkan pengambilan ayam.

"Seperti hari ini, saya hanya menerima kira-kira 50kg dan bimbang bekalan ayam semakin berkurangan menjelang musim perayaan nanti.

"Apabila bekalan berkurangan, saya juga bimbang harga akan meningkat sedangkan kita (peniaga) terikat dengan harga kawalan," katanya.

Bagi Zul FakrulAmin Abd Manan, 34, dia bimbang berlaku kenaikan harga oleh penternak menjelang sambutan Tahun Baru Cina nanti.

TINJAUAN harga ayam di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
TINJAUAN harga ayam di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Katanya, kenaikan harga memang biasa berlaku setiap kali musim perayaan.

"Saya harap pihak berkaitan dapat memantau dan melihat isu ini dengan sebaiknya kerana kami sebagai peniaga juga tersepit dengan situasi ini.

"Kami akur dengan harga kawalan yang ditetapkan kerajaan bagi melindungi pengguna tetapi berharap suara kami turut didengari," katanya yang biasanya menjual kira-kira 100 ekor ayam sehari.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya akan berusaha mencari alternatif terbaik untuk mengatasi masalah kenaikan harga barangan bagi memastikan semua yang terbabit tidak terbeban.

Katanya, pihaknya bukan hanya mahu melindungi hak pengguna semata-mata malah melindungi hak peniaga dan penternak serta lain-lain yang berada di dalam lapangan.

"Kita sentiasa memantau harga barangan basah ini termasuk ayam, bukan sahaja di pasar-pasar dan pasar raya namun di peringkat peniaga dan penternak.

"Pihak yang mempunyai masalah atau isu berbangkit boleh berhubung dengan kita supaya tindakan selanjutnya dapat diambil," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 2:40 PM