Razarudin Husain
Razarudin Husain
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan kes pusat perubatan menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu di Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan, setakat ini.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, kegiatan berkenaan di seluruh negara masih berada pada tahap terkawal, selain dipantau pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

"Pada masa ini, saya tiada fakta terperinci laporan itu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Sudah tentu kegiatan penjualan vaksinasi palsu dalam kawalan PDRM dan kita sentiasa pantau perkara itu," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, media melaporkan tujuh individu termasuk pemilik sebuah klinik swasta di Gombak ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan vaksin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dipetik berkata, semua suspek termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan minggu lalu dalam serbuan di klinik itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kegiatan kumpulan itu dikesan menerusi pesanan ringkas tular melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

Di Terengganu, polis dilaporkan membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu, apabila merampas hampir 100 kad peringatan imunisasi (janji temu) serta menahan seorang doktor sebuah klinik swasta di Marang.

Doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKJK) pada 8 Januari lalu.

Susulan penahanan itu, polis dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sedang menyiasat sama ada kira-kira 1,900 individu yang berurusan untuk divaksin dengan klinik berkenaan diberi sijil vaksinasi tulen atau sebaliknya.

Sementara itu, Razarudin menasihatkan pihak klinik supaya bertanggungjawab dan jujur dalam memudahkan urusan rakyat bagi mendapatkan vaksin.

"Kita turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam hal ini dan maklumat kegiatan jual vaksin palsu akan dikongsi bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 12:51 PM