Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seramai 44 pelajar asrama sekolah berasrama penuh di sini, dikesan positif Covid-19, sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kluster yang membabitkan pelajar asrama sekolah itu diisytihar pada 14 Januari lalu sebagai Kluster Embi Telipot.

Katanya, siasatan dijalankan dan mengenal pasti 256 orang kontak rapat.

"Kesemua kontak rapat diarahkan untuk menjalani kuarantin. Mereka juga dinasihatkan supaya menjalani saringan sekiranya mengalami gejala dalam tempoh itu.

"Sehingga semalam juga, 44 kes yang dikesan positif Covid-19 yang membabitkan kesemua pelajar asrama sekolah itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

KAKITANGAN Kementerian Kesihatan di sekolah berasrama penuh di mana 44 pelajar dikesan positif Covid-19. FOTO ihsan pembaca
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan di sekolah berasrama penuh di mana 44 pelajar dikesan positif Covid-19. FOTO ihsan pembaca

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu juga mencadangkan supaya proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan bermula hari ini sehingga 25 Januari ini.

Mengulas berhubung dakwaan tular yang mendakwa kes Covid-19 itu berpunca daripada seorang pelajar di mana ibu bapanya baharu pulang daripada menunaikan umrah dan disahkan dijangkiti varian Omicron, Dr Zaini berkata, dakwaan itu tidak benar kerana belum ada keputusan varian Omicron bagi sampel ibu bapa pelajar berkenaan.

"Namun, pihak kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca kes Covid-19 di sekolah itu.

"Kita sahkan, ada kluster Covid-19 di sekolah berkenaan yang membabitkan pelajar asrama," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan mesej yang tidak benar kerana boleh menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa dan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 11:39 AM